Followers

Saturday, March 5, 2011

Bab 2: Nasionalisme di Malaysia sehingga perang dunia ke2

2.1 Perjuangan Masyarakat Tempatan Menentang British
Sebab sebab Penentangan

(a) Dasar penaklukan British
1. British menakluki daerah mereka seperti Naning, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
2. Tujuan penaklukan British terhadap negeri-negeri Melayu adalah untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka.
3. Penguatkuasaan politik British menjadi luas dan kawsan itu akan terikat dengan perintah dan peraturannya.
4. Setelah menduduki Melaka British memaksa Naning menjadi jajahan takluknya dan dikehendaki membayar ufti.
5. Dol Said, Penghulu Naning menentang kehendak British dan hal itu menyebabkan peperangan.

(b) Eksploitasi terhadap ekonomi tempatan
1. British berhasrat untuk menguasai ekonomi tempatan.
2. Ia dilaksanakan melalui perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh mereka dengan pemimpin tempatan.
3. Melalui perjanjian tersebut, saudagar-saudagar dari Negeri-negeri Selat dibenarkan menjalankan perlombongan dan perdagangan bijih timah.
4. Penduduk tempatan marah terhadap British.
(c) Pelaksanaan pentadbiran Barat terhadap masyarakat tempatan
1. British memaksakan pentadbiran Barat kepada penduduk tempatan.
2. British memperkenalkan sistem cukai, undang-undang dan peraturan tanah untuk mendapatkan hasil yang maksimum.
3. Di Terengganu, penentangan berlaku kerana British menetapkan bahawa setiap tanah yang hendak
dibuka oleh penduduk tempatan mestilah mendapat keizinan British dan dikenakan cukai tanah.
4. Peraturan tersebut bertentangan dengan amalan tradisi yang membolehkan mereka membuka tanah mengikut keperluan tanpa perlu membayar cukai.     
 (d) Campur tangan British dalam adat resam tempatan
1. British memaksa penduduk tempatan menerima nilai-nilai British yang amat bertentangan dengan budaya masyarakat tempatan.
2. Di Perak, Residen British iaitu J.W.W Birch telah campur tangan dalam adat resam Melayu iaitu amalan
menggunakan orang suruhan dalam kalangan pembesar Melayu.
3. Tindakan tersebut ditentang oleh pemimpin dan pembesar tempatan.

(e) Pembesar tempatan kehilangan kuasa dan pengaruh
1. Pemimpin tempatan kehilangan kuasa dan pengaruh pentadbiran ke atas kawasan dan anak buah mereka setelah British menjajah kawasan tersebut.
2. Sebelum kedatangan British para pembesar tersebut dilantik oleh sultan ataupun masyarakatnya untuk mentadbir kawasan tersebut.
3. Para pembesar bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal daerahnya seperti soal pentadbiran, perundangan, ekonomi dan sosial.
4. Para pembesar tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak British yang telah menyebabkan mereka hilang kuasa.

(f) Kesulitan penduduk tempatan
1. Pelaksanaan undang-undang Barat oleh British telah menyulitkan penduduk tempatan.

Peristiwa Penentangan Pemimpin Tempatan
Perjuangan Dol Said di Naning
1. Berlaku pada tahun 1831 - 1833.
2. Dipimpin oleh Penghulu Dol Said.
3. Penghulu Dol Said tidak bersetuju dengan Naning diletakkan sebahagian daripada Melaka iaitu wilayah taklukan British.
4. Dol Said juga menentang arahan British yang menetapkan Naning perlu menghantar 1/10 hasil tahunan Naning ke Melaka sebagai ufti.
5. Pada tahun 1831, British menghantar sepasukan tentera seramai 150 orang di bawah pimpinan Kapten
Wyllie untuk menawan Tabuh iaitu pusat pentadbiran Naning.
6. Dol Said dibantu oleh Yam Tuan Ali dari Rembau, Syed Shaban, Penghulu Remai dan Rechat, Dato Kelana Sungai Ujung dan Penghulu Gemencheh.
7. Penghulu Dol Said berjaya mengalahkan tentera British pimpinan Kapten Wyllie.
 8. Pada tahun 1832, British dengan kekuatan 1200 tentera telah menyerang Naning dan berjaya mengalahkan Penghulu Dol Said.
9. Dol Said tidak dibantu oleh pembesar-pembasar tempatan yang lain.
10. Penghulu Dol Said terpaksa menyerah diri dan dibawa ke Melaka.

Penentangan Terhadap James Brooke di Sarawak
1. Penduduk tempatan Sarawak menentang James Brooke kerana James Brooke berusaha untuk menguasai beberapa daerah pedalaman pada tahun 1942.
2. Keengganan untuk menyerah daerah kepada Brooke menyebabkan James Brooke menyerang daerah-daerah mereka.

Perjuangan Linggir
1. Linggir adalah pemimpin Kaum Iban di Saribas telah menentang dasar penaklukan James Brooke.
2. Pada tahun 1849, Linggir telah menyerang kapal Nemesis dekat Batang Lupar.
3. Ia adalah sebagai tindak balas terhadap langkah James Brooke dan Kapten Farquhar yang menghalang pelayaran mereka melalui Sungai Saribas.
4. Linggir dan pengikutnya tewas dalam pertempuran tersebut

Perjuangan Rentap
1. Rentap, pemimpin Iban, menentang James Brooke kerana beliau bertindak untuk menghapuskan orang Iban di Sungai Skrang yang dianggap sebagai lanun.
2. Pasukan pimpinan Rentap menyerang kubu James Brooke di Nanga Skrang bagi menghalang kezaliman tersebut.
3. Rentap berjaya mengusir tentera James Brooke tetapi tentera James Brooke telah bertindak balas dengan membakar kampung mereka.
4. Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Sadok.
5. Pada tahun 1861 James Brooke menyerang penempatan Rentap dan Rentap berjaya dikalahkan.
6. Rentap terpaksa berundur ke Ulu Sungai Entabai dan
 Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur  1.Penentangan orang Melayu yang dipimpin oleh Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur berlaku kerana menentang penguasaan James Brooke di wilayah mereka, iaitu di Sungai Rajang.
2. Penguasaan tersebut menyebabkan mereka kehilangan kuasa memungut cukai dan pengaruh terhadap penduduk tempatan.
3. Syarif Masahor telah menyerang kubu James Brooke di Kanowit.
4. Datu Patinggi Abdul Gapur pula menyerang James Brooke di Kuching.
5. Walau bagaimanapun, penentangan kedua- dua pemimpin itu tidak berjaya.
6. Syarif Masahor melarikan diri ke Brunei tetapi beliau diserahkan oleh Sultan Brunei kepada British di Singapura.
7. Datu Patinggi Abdul Gapur yang melarikan diri ke Betawi, berjaya ditahan oleh Belanda dan diserahkan kepada James Brooke.

Perjuangan Mat Salleh di Sabah
1. Mat Salleh ialah pemerintah daerah Tambunan dan Sungai Sugut.
2. Beliau menentang pentadbiran Syarikat Borneo Utara British (SBUB) kerana SBUB tidak menghiraukan kedudukannya sebagai pemimpin di kawasan tersebut.
3. British turut melaksanakan sistem cukai kepala dan surat perahu.
4. Pegawai-pegawai syarikat juga bersikap kasar kepada penduduk tempatan.
5. Mat Salleh ke Sandakan untuk berbincang dengan SBUB berkaitan perkara-perkara tersebut.
6. Pihak SBUB tidak melayan usaha Mat Salleh untuk berbincang dengan mereka.
7. Sebaliknya, pihak Gabenor Beaufort telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh. Mat Salleh terpaksa melarikan din.
8. Mat Salleh dan pengikutnya telah melakukan serangan mengejut terhadap kubu SBUB di Pulau Gaya pada tahun 1897.
9. SBUB menawarkan pelan damai kepada Mat Salleh.
10. Pihak SBUB bersetuju menyerahkan Tambunan kepada Mat Salleh tetapi SBUB mungkir janji.
11. Mat Salleh sekali lagi menyerang kubu SBUB dan mereka telah membalas serangan dengan menyerang kubu Mat Salleh.
12. Mat Salleh tewas dan meninggal dunia pada tahun 1900.     
Penentangan di Perak
1. Penguasaan British di Perak ditentang oleh pembesar tempatan yang dipimpin oleh Dato' Maharaja Lela.
2. Semua pembesar dan Sultan bersatu menentang penguasaan Britishdi Perak kerana
(a) Residen memungkiri fungsinya sebagai penasihat seperti yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1974.
(b) pembesar menolak sistem cukai yang menghapuskan hak mereka.
(c) para pembesar menolak penguasaanBritish terhadap kawasan mereka.
(d) para pembesar menolak campur tangan British dalam adat resam dan hal ehwal tempatan.
(e) J W.W Birch tidak menghormati sistem sosial tempatan dan tidak tahu berbahasa Melayu.

Peritiwa Perjuangan Dato’ Maharaja Lela dan Orang Melayu Perak
1. Pada 20 Jan 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangani.
2. Pada bulan Februari 1875, Bantahan terbuka oleh Dato' Maharaja Lela dan pembesar Melayu terhadap
campur tangan British.
3. Dato’ Mahara Lela membina kubu di Pasir Salak.
4. Pada 21 Julai 1875 – Mesyuarat diadakan diDurian Sebatang Dato’ Maharaja Lela dengan pembesar-
pembesar Melayu untuk menentang pelaksanaan undang-undang British.
5. Pada 12 Sept 1875 – Dato’ Maharaja Lela bersetuju mengambil tanggungjawab untuk membunuh J W.W Birch selepas bermesyuarat dengan Raja Abdullah dan para pembesar lain di Belanja.
6. Pada 31 Oktober 1875 - Penyerahan Perak kepada British. Mat Arshad, orang suruhan British dibunuh ketika manampal poster cukai.
7. Pada 2 Nov 1875 - Pembunuhan J.W.W. Birch di Sungai Perak, Pasir Salak oleh Sepuntum, Pandak Lam, dan lain-lain atas arahan Dato’ Maharaja Lela.
8. Pada 13 Nov 1875 – Pasukan British seramai 500 tentera telah menyerang Pasir Salak dan kawasan-kawasan terlibat.Dato’ Maharaja Lela’ dan Dato’ Sagor melarikan diri ke Kota Lama.
9. Pada 20 Nov 1877 -Perbicaraan di Matang,Perak. Raja Idris sebagai hakim, manakala Frank Swettenham sebagai penasihat. Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Pandak Lam, Seputum, dan Pandak Indut dijatuhi hukuman gantung. Sultan Ismail dibuang negeri ke Johor. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Syahbandar dan Laksamana dibuang negeri ke Pulau Seychelles.   

Penentangan di Negeri Sembilan
1. Penentangan di Negeri Sembilan dilakukan oleh Yam Tuan Antah dan Dato' Syahbandar Sungai Ujong, iaitu Abdullah Tunggal. Kedua-duanya menentang kemasukan British ke Sungai Ujong.
Sebab-sebab penentangan Yam Tuan Antah
a. British menduduki Sungai Ujong.
b. British menyokong Dato Kelana menduduki Terachi dan Paroi.
c. British menawan Bukit Putus, Jempul dan Terachi
2. Yam Tuan Antah menandatangani perjanjian damai dengan British pada tahun1888.

Perjuangan Dato’ Syahbandar
1. Dato’ Syahbandar enggan menandatangani perjanjian dengan British pada 21 April 1874.
2. Dato' Syahbandar juga menentang Dato' Kelana Sungai Ujong iaitu Syed Abdul Rahman yang mempelawa British untuk campur tangan dalam pertikaian mereka.
3. Kedua-dua pemimpin tersebut berebut kawasan sempadan untuk mengenakan cukai kepada pedagang bijih timah dari Negeri-Negeri Selat.
4. Dato' Kelana Syed Abdul Rahman dengan kerjasama British berjaya mengalahkan Dato' Syahbandar Abdullah Tunggal untuk menguasai Sungai Ujong.
5. Dato' Syahbandar terpaksa berundur ke Selangor. Namun beliau kembali ke Sungai Ujong semula dan menandatangani perjanjian dengan British pada tahun 1874.
6. Dato' Syahbandar bersetuju meletakkan jawatan dan berhijrah ke Singapura.
7. Dato' Kelana dapat menguasai seluruh Sungai Ujong tetapi tertakluk di bawah penguasaan British.

Penentangan di Pahang
1. Apabila J. P Rodgers dilantik sebagai Residen Pahang yang pertama, Dato' Bahaman bangun menentang British.
2. Penentangan terhadap British berlaku kerana Dato' Bahaman menolak pelaksanaan undang-undang British yang bertentangan dengan adat resam dan sistem politik tempatan.
3. Antara dasar dasar itu termasuklah sistem kehakiman, pemungutan hasil tanah, sistem cukai, dan penubuhan pasukan polis luar.
4. Hal ini kerana undang-undang tersebut telah menghakis kuasa Dato' Bahaman sebagai Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan.
5. Dato' Bahaman dan rakan-rakannya seperti Tok Gajah dan Imam Rasul telah bersatu menentang British selama lima tahun.
6. Pada tahun 1890, beliau menentang pembinaan balai Polis di Lubuk Terua, kawasan pengaruhnya.
7. Pada tahun 1891, menyerang British kerana menangkap anak buahnya.
8. Menyerang dan menawan semula Lubuk Terua pada tahun 1892.
9. Menyerang dan manguasai Kuala Tembeling dan Jeram Ampai pada tahun 1894.
10. Akibat tekanan British mereka berundur dan mendapatkan perlindungan daripada penduduk dan pembesar Terengganu dan Kelantan.
11. Dato' Bahaman menetap di Hulu Kelantan manakala Tok Gajah dan keluarganya menetap di hulu Terengganu.
12. Dato' Bahaman kemudiannya berpindah ke Bangkok dan diberikan perlindungan politik oleh Raja Chulalongkorn.
13. Beliau menetap di Chieng Mai dan diberi wang sara hidup sebanyak 1000 baht dan meninggal dunia di sana.

Penentangan di Kelantan
1. Penentangan terhadap penjajahan British di Kelantan berlaku di Pasir Puteh apabila Sistem Penasihat British diperkenalkan pada tahun 1910.
2. British telah memaksa penduduk tempatan membayar cukai melalui sistem cukai yang diperkenalkan.
3. Tok Janggut enggan membayar cukai dan membantah pelaksanaan sistem cukai itu.
4. Bantahan Dato’ Bahaman tidak dilayan oleh Pegawai Daerah Pasir Putih sebaliknya pihak polis telah diarah untuk menangkapnya tetapi gagal.
5. Pada tahun 1915, Engku Besar Jeram, Tuan Ahmad, Penghulu Adam, Haji Said Che Ishak serta rakyat tempatan telah menyerang Pasir Puteh dan berjaya mendudukinya.
6. Sebuah kerajaan dibentuk dengan Engku Besar Jeram sebagai Raja. Tok Janggut sebagai Perdana Menteri, dan Che Ishak sebagai Pegawai Daerah.
7. Pihak British menggunakan nama Sultan Kelantan dengan membawa masuk pasukan tentera dari Negeri-negeri Selat.
8. Kapal H.M.S Cadmus mendarat di Tumpat dan memulakan serangan di saring pada Mei 1915.
9. Tok Janggut dan pengikutnya berjaya dikalahkan kerana serangan British lebih tersusun dan penggunaan senjatanya lebih moden.
10. Tok Janggut terkorban dan mayatnya diarak ke seluruh pekan Kota Bharu sebelum digantung di pasar dalam keadaan songsang sebagai amaran kepada masyarakat tempatan yang berani menentang British.

Penentangan di Terengganu
1. Haji Abdul Rahman Limbong, seorang ulama menentang British di Terengganu kerana tidak berpuas hati dengan sistem cukai dan undang undang tanah yang diperkenalkan oleh British.
2. Pada tahun 1922, Haji Abdul Rahman Limbong mengetuai penduduk kampung membersihkan tanah di Kuala Telemong tanpa menghiraukan peraturan tanah British.
3. Pada tahun 1925 pula, kira kira 300 orang penduduk kampung telah berkumpul dan membuka tanah milik Tengku Nik Maimunah Ibn Sultan Zainal Abidin III yang meliputu kawsan dari Lubuk Batu Hingga Kampung Pelam.
4. British yang bimbang dengan situasi tersebut telah meminta jasa baik Tengku Nik Maimunah untuk meyuraikan perhimpunan penduduk tersebut.
5. Kemarahan penduduk tempatan terhadap dasar British menyebabkan mereka melancarkan penentangan bersenjata pada tahun 1928.
6. Kumpulan yang menyerang bangunan kerajaan di Kuala Berang telah berjaya mendudukinya.
7. Kumpulan penduduk di Kuala Telemong pula telah bersiap sedia menungggu arahan untuk menyerang British.
8. Dengan menggunakan nama Sultan Terengganu, British telah menghantar tiga orang pembesar yang membawa perintah Sultan untuk menawan semula Kuala Berang serta menangkap dan memburu sesiapa sahaja yang menghalangnya.
9. Cara tersebut amat berkesan kerana orang Melayu tidak akan menderhaka kepada Sultan.
10. Sepasukan polis dengan anggota seramai 25 orang telah menyerang Kuala Terengganu dan berjaya menumpaskan kebangkitan penduduk tempatan yang telah mengorbankan 11 orang.
11. Haji Abdul Rahman Limbong pula telah diserang oleh 50 orang polis yang dibawa dari Singapura. Beliau akhirnya dibuang negeri ke Makkah.

2.2 Gerakan Nasionalisme Sehingga Perang Dunia Kedua
Faktor-Faktor Pemangkin Nasionalisme

(a) Pengenalan sistem politik Barat
1. Sir Andrew Clarke telah memperkenalkan sistem politik Barat dan memusnahkan sistem politik tempatan.
2. British telah meletakkan seorang Residen yang mengambil alih pentadbiran daripada pembesar tempatan.
3. Para pembesar tempatan telah diberikan pencen dan tempat mereka digantikan oleh pegawai British. 
4. Penduduk tempatan menganggap perubahan tersebut dianggap mencabar sistem atau amalan tradisi tempatan di samping menjatuhkan maruah mereka.
5. Hal ini telah membangkitkan kebencian penduduk tempatan terhadap British.

(b) Perkembangan sistem pendidikan
1. Sistem pendidikan Inggeris dan sekolah vernakular Melayu yang diperkenalkan pada akhir abad ke-19, telah melahirkan golongan intelek yang mampu berfikir tentang kemajuan bangsanya.
2. Mereka menyedari perlunya sumbangan tenaga dan fikiran mereka untuk menyedarkan bangsa Melayu.
3. Mereka telah menggunakan idea baru untuk memajukan diri dan menolak penjajah Barat.

(c) Dasar British
1. British menggalakkan sesiapa sahaja untuk datang ke Tanah Melayu untuk melabur, berniaga, berdagang, bekerja dan menetap di Tanah Melayu.
2. Ramai orang asing datang dan menetap di Tanah Melayu.
3. Kemasukan secara berterusan imigran tersebut telah meningkatkan jumlah imigran di Tanah Melayu dan menimbulkan persaingan dengan penduduk tempatan.
4. Mereka menguasai ekonomi Tanah Melayu melalui bidang perlombongan bijih timah, perladangan getah dan perniagaan.
5. Orang Melayu pula terus kekal dalam bidang pertanian padi yang tidak dimajukan oleh British.
6. British membuka bandar baru yang menjadi pusat pentadbirannya. Di sini berlaku kemajuan ekonomi seperti perniagaan.
7. Di bandar juga disediakan prasarana seperti elektrik,telefon, pos, sekolah dan hospital.
8. Taraf hidup penduduk bandar meningkat.
9. Orang Melayu tetap tinggal di kampung-kampung yang serba kekurangan daripada segi kemudahan asas.
11. Keadaan ini menjarakkan lagi jurang taraf hidup antara penduduk tempatan dengan imigran dan penduduk bandar yang lain.
12. Dasar British telah memundurkan orang Melayu.
13. Keadaan tersebut telah disedari oleh golongan intelek Melayu lalu mereka menjadikannya isu gerakan nasionalisme.

(d) Pendudukan Jepun
1. Pihak Jepun dengan konsep Kawasan Kesemakmuran Asia telah menekankan kebebasan negara-negara Asia untuk menentukan kemajuan masing-masing dan meningkatkan persaudaraan dalam kalangan negara-negara tersebut.
2. Jepun menggalakkan orang tempatan untuk bekerjasama dengannya dan berjanji memerdekakan mereka.
3. Kesengsaran hidup yang dialami penduduk tempatan seperti kekurangan makanan, ubat-ubatan, kekejaman Jepun menyebabkan mereka membenci penjajah.
4. Bagi mereka semua penjajah adalah zalim dan menekan penduduk tempatan.
5. Kesannya, mereka menentang punubuhan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British pada tahun 1946 kerana tidak mahu lagi dijajah oleh sesiapa pun.

(e) Penguasaan Parti Komunis Malaya (PKM)
1. Penguasaan PKM selama 14 hari pada tahun 1945 juga telah membangkitkan penjajahan dan penyebaran ideologi komunis.
2. Dalam tempoh itu, PKM telah menguasai balai-balai polis dan memerintah dengan kejam.
3. Mereka menangkap dan membunuh sesiapa sahaja yang dianggap sebagai penyokong Jepun.
4. Gerakan tersebut mencetuskan konflik perkauman. Ramai orang Melayu terbunuh dan rumah mereka dibakar oleh PKM.
5. Serangan mereka telah dibalas oleh orang Melayu di Perak, Johor, Negeri sembilan dan Pahang.

(f) Kemunculan mesin cetak
1. Kemunculan mesin cetak telah memberikan kesan kepada penyebaran ilmu pengetahuan dan mendorong penentangan terhadap British.
2. Idea tentang nasionalisme dapat disebarkan melalui buku, akhbar, majalah, kitab agama dan lain-lain.

(g) Gerakan Pan-Islamisme sedunia
1. Ia merupakan gerakan intelektual Islam seluruh dunia untuk membangkitkan pemahaman yang lebih progresif terhadap Islam untuk menentang penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam.
2. Gerakan ini didokong oleh pelajar Islam dari seluruh dunia.
3. Gerakan reformis Islam yang dimulakan oleh Syeikh Muhammad Abduh, pensyarah di Universiti al-Azhar telah tersebar luas.
4. Dalam tulisannya, beliau telah memberikan kupasan bahawa Islam adalah cara hidup yang menekankan kepentingan dunia dan akhirat, di samping mendorong umatnya menuju kejayaan.
5. Tulisan Syeikh Muhammad Abduh disebarkan melalui majalah al-Manar.
6. Selain itu, gerakan Wahabi yang berlaku di Arab Saudi juga mendesak matlamat yang sama.

(h) Kesedaran politik serantau
1. Kesedaran politik yang berlaku di Asia Tenggara terutama di Indonesia turut mendorong kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu.
2. Indonesia amat rapat dengan Tanah Melayu dari segi geografi dan budaya telah mempengaruhi gerakan nasionalisme di Tanah Melayu.
3. Kesedaran politik dan pendidikan di Indonesia yang lebih matang telah melahirkan golongan intelek.
4. Ada di antara mereka menjadi penulis besar dan karya mereka telah menjadi bahan bacan masyarakat di Tanah Melayu terutama yang berpendidikan vernakular Melayu.
5. Idea kebebasan politik dan penentangan terhadap penjajahan dalam penulisan mereka yang tersebar luas di sini dihayati oleh masyarakat tempatan.
6. Kemasukan orang Indonesia ke Tanah Melayu memudahkan penerimaan unsur kegiatan nasionalisme di Tanah Melayu.

Gerakan Islah
1. Gerakan Islah ialah gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam.
2. Antara pendorong gerakan Islah ialah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, dan Dr Burhanuddin al- Helmy.Tokoh gerakan tersebut dikenali sebagai Kaum Muda.
3. Kaum Muda menyampaikan idea dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik, dan sosial orang Melayu.
3. Golongan ini juga menyematkan sikap mengkritik penjajah dalam fikiran orang Islam.
4. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang kurang berperanan dalam memajukan orang Melayu.
5. Gerakan Kaum Muda ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama.
6. Kaum Tua menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardhu ain sahaja.
7. Kesannya, Kaum Muda amat sukar untuk mempengaruhi masyarakat.
8. Gerakan Islah dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana negeri-negeri Melayu lain mengeluarkan undang-undang bagi menghalang kegiatan Kaum Muda.
9. Undang-undang yang diwujudkan tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam tanpa kebenaran sultan.
10. Undang-undang itu juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda di bawa masuk ke negeri- negeri tersebut.
11. Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah yang mendedahkan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan dunia dan akhirat seperti Matematik, Bahasa Inggeris, dan Fardhu Ain.
12. Madrasah juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan.
13. British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya kegiatan Gerakan Islah terutamanya dalam bidang pendidikan.

Peranan Akhbar, Majalah, dan Novel dalam kebangkitan nasionalisme
1. Akhbar, majalah, novel telah memainkan peranan yang penting dalam melahirkan semangat kebangsaan.
2. Antara penulis terkenal pada tahun 1920-an ialah Za’ba. Karya Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) yang terkenal ialah Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu.
3. Pada tahun 1930-an muncul seperti Dato' Onn Ja'afar dan Abdul Rahim Kajai.
4. Tulisan mereka yang bernas telah membangkitkan kesedaran untuk memajukan diri dan bersatu padu.
5. Mereka mengkritik dasar-dasar British yang menekan orang Melayu. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh penulis-penulis di Sarawak.
5. Antara akhbar terkenal ialah Lembaga Malaya, Majlis, Utusan Melayu, Warta Negara, dan Fajar Sarawak.
6. Antara aspek sosial yang dibangkitkan dalam akhbar ialah
a. memajukan pendidikan tinggi orang Melayu

b. menggalakkan pendidikan untuk anak perempuan

c. menyeru orang Melayu meninggalkan sikap negatif seperti memilih kerja dan tidak mahu berusaha.

d. menggalakkan tabungan di kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak.

e. Mementingkan kemahiran tradisional orang Melayu seperti pertukangan dan kerja tangan.

7. Antara aspek ekonomi yang dibangkitkan dalam akhbar ialah
a. menggalakkan syarikat kerjasama

b. meminta British mengurangkan kemasukan orang dagang kerana hal ini mengancam ekonomi tempatan

c. menggalakkan perniagaan dalam kalangan orang Melayu.

d. melarang orang Melayu menjual tanah mereka.


e. menyeru orang Melayu supaya berjimat cermat.
8. Antara aspek politik yang dibangkitkan dalam akhbar ialah
a. mengkritik British kerana mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.

b. mengkritik para pembesar dan raja-raja Melayu kerana tidak melaksanakan kepimpinan yang sewajarnya untuk rakyat.

c. menolak dasar pilih kasih Bitish dalam pentadbiran kerajaan.

d. menuntut diadakan Malay Administrative Service (M.A.S) untuk melindungi orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan

e. menyeru orang Melayu di seluruh Tanah Melayu supaya bersatu dalam sebuah pertubuhan kebangsaan.

9. Majalah juga memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat kebangsaan orang tempatan.
10. Majalah lebih memfokuskan persoalan untuk memajukan bangsa melalui rencana dan puisi yang disiarkan.
11. Sehingga tahun 1940-an terdapat sebanyak 120 buah majalah yang pelbagai corak diterbitkan.
12. Majalah-majalah tersebut menyentuh isu kemajuan bangsa dalam pendidikan, ekonomi, bahasa, sastera, serta politik anti-penjajahan dan orang asing.
13. Antara majalah terkenal ialah Majalah Guru, Pengasuh, dan Bulan Melayu.
14. Majalah Guru dengan pengarang-pengarangnya seperti Muhammad Dato’ Muda Linggi, Yusuf Ahma dan Mohd. Sidin Rashid membangkitkan isu
a. pendidikan anak Melayu

b. menyeru perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

c. meniupkan semangat cinta akan negara dan menentang penjajahan

d. membaiki taraf hidup orang Melayu.

e. Memajukan bahasa dan sastera Melayu.

15. Majalah Pengasuh dengan pengarangnya Dato’ Nik Mohamad pula memuatkan isu yang
a. membincangkan soal pentafsiran Islam yang progresif bagi kemajuan ummah

b. menggalakkan pendidikan dalam kalangan orang Melayu.

c. memperluaskan ilmu dalam segala bidang

d. memberikan pentafsiran kepada persoalan orang Islam

e. menggesa orang Melayu menjauhkan diri daripada sifat buruk

16. Majalah Bulan Melayu melalui pengarangnya Zainon Sulaiman pula
a. menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru perempuan Melayu Johor.

b. Menggalakkan wanita mendapatkan pendidikan untuk kemajuan diri.

c. Mendorong wanita menjaga kesopanan dengan nilai-nilai Islam dan budaya Timur.

d. Menggalakkan wanita menjadi obor untuk memajukan bangsa.

17. Novel juga telah menyumbangkan kepada perkembangan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.
18. Penulisan novel mula berlaku pada awal abad ke-20 tetapi menjadi rancak pada tahun-tahun 1930-an.
19. Antara mesej yang diketengahkan ialah
a. semangat kebangsaan yang patut dimiliki oleh generasi muda Melayu pada masa itu.

b. sikap menentang penjajah dalam apa jua bentuk sekalipun adalah dituntut untuk membela maruah bangsa.

c. wanita digalakkan mempunyai sikap positif untuk memajukan diri bagi membentuk dan membangunkan bangsa.

20. Novel terkenal ialah Keris Melaka, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, dan Melor Kuala Lumpur.
22. Novel Keris Melaka karangan Ahmad Bakhtiar memuatkan tema kebangsaan seperti
a. semangat perjuangan menentang penjajah Barat seperti Portugis.

b. menghargai sumbangan tokoh-tokoh Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah.

c. Menggunakan sejarah sebagai inspirasi dan pedoman untuk mendorong semangat perjuangan bangsa bagi generasi muda.

23. Novel Mat Lela Gila karya Ishak Haji Muhammad memuatkan tema semangat kebangsaan seperti
a. semangat menentang penjajah oleh anak muda tempatan.

b. menghargai warisan bangsa sendiri.

c. mencintai tanah air.

d. menolak kesenangan demi maruah bangsa.

24. Novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad mengetegahkan tema semangat kebangsaan
seperti
a. semangat wira pemuda tempatan dalam memjaga maruah bangsa.

b. mencintai tanah air.

c. berasa bangga dengan kebolehan sendiri.

d. seorang gadis tempatan menolak cinta pegawai penjajah kerana tidak mahu menjatuhkan maruah bangsa.

25. Novel Melor Kuala Lumpur karangan Harun Aminurrashid membincangkan
a. emansipasi atau kebebasan wanita dalam menentukan hala tuju kehidupannya.

b. wanita yang mementingkan pendidikan moden untuk kebaikan dirinya.

c. membuang pandangan negatif yang boleh menghalang kemajuan bangsa.

Kesatuan Melayu Singapura (KMS)
1. Ditubuhkan pada tahun 1926.
2. Pengasasnya ialah Mohammad Eunos Abdullah, Tengku Kadir Ali dan Embok Suloh.
3. Didukung oleh mereka yang berpendidikan Inggeris.
4. Bertujuan menjaga kepentingan sosioekonomi penduduk Melayu Singapura.
5. Mohammad Eunos Abdullah menjadi wakil KMS dalam pentadbiran Britsh.
6. Beliau juga dilantik menjadi Ahli Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat mewakli orang Melayu.
7. Hasil desakannya kebajikan orang Melayu Singapura mendapat perhatian British.
8. Antara kejayaan beliau ialah orang Melayu Singapura diberi kawasan petempatan khas oleh British.
9. KMS turut mempunyai cawangan di Melaka, Pulau Pinang dan negeri Melayu yang lain pada tahun 1930-an.

Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM)
1. Ditubuhkan pada tahun 1934.
2. Dipimpin oleh cerdik pandai Pulau Pinang termasuklah S. M. Zainal Abidin B. A.
3. Bertujuan menggalakkan ahlinya berkenalan dan bertukar-tukar pendapat bagi memajukan diri dan bangsa.
4.Ia juga bertujuan menggalakkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
5. Organisasi PASPAM yang kemas dan mempunyai perlembagaan sendiri menyebabkan sambutan hangat dalam kalangan masyarakat.
6. Walaupun tidak bersifat politik, kegiatan sosialnya menjadi asas kepada kesedaran perpaduan Melayu.

Persatuan-persatuan Negeri
1. Persatuan-persatuan di peringkat negeri juga ditubuhkan di negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
2. Objektif penubuhannya adalah untuk menggabungkan tenaga intelek Melayu bagi membincangkan nasib orang Melayu dalam soal ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan kerajaan.
3. Dengan cara tersebut perpaduan dalam kalangan orang Melayu dapat digalakkan.

Persatuan Melayu Miri
1. Ditubuhkan pada tahun 1936.

Persatuan Melayu Sarawak
1. Ditubuhkan pada tahun 1939.
2. Ditubuhkan hasil daripada pengaruh persatuan-persatuan negeri di Semenanjung.
3. Idea penubuhannya wujud sejak tahun 1937 lagi tetapi gagal dilaksanakan kerana bantahan Brooke.
4. Hanya dengan naungan Datu Patinggi Abang Abdillah, Brooke bersetuju mendaftarkannya.
5. Persatuan ini pernah menghadiri Kongres Melayu 1940 di Singapura.

Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
1. Ditubuhkan pada tahun 1939.
2. Diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.
3. Tujuan penubuhannya adalah untuk mengeratkan perpaduan Melayu, menggalakkan pendidikan, menjaga
budaya dan maruah bangsa serta menegakkan agama Islam.
4. Persatuan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orng Melayu di Kuching.

Kesedaran Berpersatuan di Sabah
1. Kesedaran berpersatuan tidak menonjol.
2. Di negeri ini hanya terdapat cawangan Persatuan Sahabat Pena (PASPAM) sahaja iaitu di Jeselton (Kota
Kinabalu), Labuan dan Tawau.
3. Kegiatan PASPAM adalah mirip kepada kegiatan persatuan di Semenanjung.
4. Anggotanya terdiri daripada peniaga kecil, pegawai rendah kerajaan, dan guru sekolah Melayu.
5. Kegiatan berpersatuan tidak tersebar ke kawasan pedalaman kerana kesulitan perhubungan dan taraf
pendidikan yang masih rendah.

Kesatuan Melayu Muda (KMM)
1. Ditubuhkan pada tahun 1939.
2. Dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob iaitu seorang wartawan akhbar Majlis di Kuala Lumpur.
3. Nama KMM diilhamkan oleh Sultan Djenain iaitu pelarian politik Indonesia.
4. Objektif utamanya adalah untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan pemuda Melayu seluruh

semenanjung dan meningkatkan tahap pendidikan orang Melayu.
5. Persatuan ini didaftarkan oleh Mustafa Hussein, Naib Ketua KMM pada bulan Disember 1940.
6. Tujuan penubuhan kali ini lebih bersifat politik.
7. Dengan inisiatif Ibrahim Haji Yaakob, KMM bekerjasama dengan Jepun untuk menghalau British dari Tanah Melayu pada akhir tahun 1940.
8. Antara tindakan KMM pada masa itu ialah
a. menjadi badan propaganda Jepun.

b. membeli akhbar Warta Malaya untuk dijadikan alat propaganda anti-British.

c. mengelilingi Tanah Melayu untuk mencari sokongan.

d. cawangan KMM juga ditubuhkan bagi meluaskan propaganda menentang British.

9. Maahad II Ihya Assyariff di Gunung Semanggol, Perak menjadi penyokong KMM dengan menyediakan kader-kader yang dikenali tentera semut untuk menentang British.
10. Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan lebih kurang 150 orang penyokong KMM ditangkap oleh British pada akhir tahun 1941 dan dipenjarakan di Changi, Singapura.

Kongres Melayu
1. Diadakan pada tahun 1939 dan 1940. Ia merupakan kemuncak kepada kesedaran kebangsaan dalam kalangan orang Melayu menjelang Perang Dunia Kedua.
2. Dalam kedua-dua kongres tersebut, soal kemunduran orang Melayu dan pendidikan dan ekonomi serta layanan pilih kasih British kepada anak negeri dibincangkan.
3. Kongres itu disokong oleh golongan intelek dan akhbar-akhbar Melayu.
4. Resolusi kongres tersebut menggambarkan perpaduan Melayu untuk mengatasi permasalahan sosioekonomi dan politik mereka yang lemah.
5. Akhirnya orang Melayu dapat mengatasi perasaan kenegerian yang memisahkan mereka selama ini.  

Gerakan Nasionalisme semasa Pendudukan Jepun
1. Jepun mengamalkan dasar pemerintahan ketenteraan di Tanah Melayu.
2. Jepun mengharamkan semua akhbar yang diterbitkan sebelum ini.
3. Jepun menukarkan nama akhbar tempatan kepada nama Jepun seperti Malai Shimbun bagi akhbar Utusan Melayu.
4. Semua sekolah menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar.
5. Nilai budaya Jepun diperkenalkan.
6. Jepun telah menyekat kebebasan bersuara kepada pendudk Tanah Melayu.
7. Jepun hanya memberikan kebebasan kepada pertubuhan yang menyokongnya dan bergerak di bawah pengawasan mereka.

Persatuan-persatuan semasa pendudukan Jepun
Barisan Pemuda Perak
1. Ahmad Boestamam menubuhkan Barisan Pemuda di Perak bagi menyatukan pemuda-pemuda Melayu.
2. Mereka dilatih berkawad sebagai tentera sukarela Jepun.

Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA)
1. Gerakan bawah tanah menentang Jepun .
2. Parti Komunis Malaya menubuhkan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun.
3. Mereka disokong oleh British dengan memberikan bantuan senjata.
4. Pasukan ini melancarkan perang gerila terhadap Jepun.
5. Pasukan Bintang Tiga diubuhkan dan ahli-ahlinya terdiri daripada kaum Melayu, kaum Cina, dan kaum India.

Force 136
1. Keanggotaanya kecil dan ahli-ahlinya terdiri daripada pegawai-pegawai tadbir Melayu yang bekerjasama dengan British.
2. Bergerak secara gerila. Mendapat bantuan daripada pihak British.
3. Pasukan ini aktif di Kedah, Johor dan Pahang.

Pasukan Wataniah Pahang
1. Pasukan Wataniah di Pahang merupakan pasukan sukarela menentang Jepun.
2. Anggotanya terdiri daripada guru, pegawai tadbir kerajaan, dan orang kampung yang sedar tentang penindasan Jepun.

Konsep Melayu Raya atau Indonesia Raya
1. Slogan dan cita-cita politik sebahagian kecil orang Melayu.
2. Mereka mahu menghidupkan semula kegemilangan empayar Melayu seperti Majapahit, Srivijaya, dan Melaka.
3. Idea ini dimulakan oleh Abdul hadi Hassan, Pensyarah Ilmu Tawarikh (Sejarah), Maktab Perguruan Sultan Idris.

Perjuangan Ke Arah Pembentukan Melayu Raya atau Indonesia Raya
1. Ibrahim Haji Yaakob meminta Jepun memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama Indonesia bagi memenuhi perjuangan asal KMM untuk menubuhkan Melayu Raya atau Indonesia Raya.
2. Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) ditubuhkan untuk mencapai matlamat Melayu Raya.
3. Indonesia menetapkan tarikh mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.
4. Walaubagaimanapun Soekarno telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 15 Ogos 1945 ekoran kekalahan Jepun secara mendaadak
5. Kesannya, persidangan KRIS di Kuala Lumpur dibatalkan.
6. Ibrahim Haji Yaakob, isteri serta orang kanannya melarikan diri dan berlindung di Indonesia.
7. Kemerdekaan di bawah Indonesia daalam gagasan Melayu Raya atau Indonesia Raya gagal.
8. British kembali menguasai Tanah Melayu pada September 1945.

No comments:

Post a Comment